Ikonografi Empat anak Horus

Semasa Tempoh Perantaraan Pertama, penutup takar kanopi mula dibuat dalam bentuk kepala. Pada masa yang sama, inskripsi pada takar mula menyeru nama anak-anak Horus. Oleh itu, penutupnya kemungkinan besar melambangkan empat anak Horus dan bukannya orang yang empunya organ itu.[10] Pada peringkat awal, penutup kanopi mempunyai kepala falkon tetapi dalam Kerajaan Tengah, kepala manusia menjadi lebih biasa.[9] Dalam beberapa kes begini, Imsety, tidak seperti yang lain, digambarkan sebagai perempuan.[10]

Pada Dinasti Kelapan Belas (s. 1550–1292 SM), beberapa takar kanopi diberikan kepala yang berbeza-beza: Imsety digambarkan sebagai seorang lelaki, Hapy sebagai babun, Duamutef sebagai jakal dan Qebehsenuef sebagai elang.[9] Ikonografi ini menjadi standard semasa Ramses II memerintah pada abad ketiga belas SM[10] dan kekal sepanjang sejarah Mesir purba, namun dalam Tempoh Perantaraan Ketiga, kepala haiwan mereka sering tertukar. Misalnya, Duamutef digambarkan sebagai falkon dan Qebehsenuef sebagai jakal.[2]

Selain takar, anak-anak Horus itu sering digambarkan pada peti kanopi yang menyimpan takar-takar tersebut, serta pada keranda dan peralatan pengebumian lain.[3] Dalam adegan untuk Mantera 125 Buku Orang Mati, mereka digambarkan sebagai dewa-dewa kecil berdiri di atas bunga teratai di hadapan takhta Osiris.[2] Dalam satu gambaran yang ganjil, pada dinding di WV23, makam Ay dari akhir Dinasti Kelapan Belas, anak-anak Horus digambarkan sebagai manusia sepenuhnya,[3] dengan Imsety dan Hapy memakai mahkota merah Mesir Hilir dan Duamutef dan Qebehsenuef memakai mahkota putih Mesir Hulu.[2]

  • Peti kanopi dengan takar berkepala manusia, dari Kerajaan Tengah (s.2055–1650 SM)
  • Takar kanopi berkepala manusia dari awal Dinasti Kelapan Belas, s.1504–1447 SM
  • Qebehsenuef (tengah) dan Hapy (kanan), digambarkan dalam makam Nefertari (QV66),s.1250 SM
  • Takar kanopi berkepala binatang dariDinasti Kedua Puluh Lima (s.744–664 SM)
  • Azimat empat anak lelaki Horus dari Tempoh Perantaraan Ketiga (s.1070–664 SM)